Percubaan pertama membuat talam ubi kanda. Nak makan sikit je tapi bila dah buat banyak pula jadinya. Syukur juga sebab adik beradik pun dekat-dekat, jadi dapatlah berkongsi rezeki dengan mereka. Resepi ini telah dikongsikan oleh Puan Faridzoh Abd Rahman. Selamat mencuba.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Loyang 9 inci.
- +- 1 kilo Ubi Kayu yang dah diparut dan diperah keluar airnya.
- 3 cawan Santan Pekat.
- 2 1/2 cawan Santan Cair.
- Sedikit Esen Pandan.
- 2 cawan Gula.
- Sedikit Garam.
- 1 sudu kecil serbuk agar-agar.
Cara-cara untuk membuatnya:
- Gaul sebati bahan-bahan diatas ni. Kalau tak cukup manis tambah gula sikit lagi mengikut selera anda. Kacau hingga adunan menjadi sebati.
- Kemudian, bahagikan adunan tadi kepada 3 bahagian. Guna mangkuk je senang. Bahagikan sama banyak kemudian masukkan warna kesukaan anda atau seperti saya. Lapisan 1 warna hijau, Lapisan 2 warna kuning dan Lapisan 3 Warna Merah (perisa ros).
- Kemudian, panaskan pengukus dan sapu loyang dengan sedikit minyk. Lapik plastik untuk mudah angkat nanti.
- Tuang lapisan hijau dahulu. Kukus 15 minit kemudian, tuang lapisan kuning dan kukus 15 minit dan akhir sekali tuang lapisan merah dan kukus 30 minit.
- Bila dah masak angkat. Kalau tak cukup masak tambah lagi masa. Tunggu sejuk baru potong.
- Kukus kelapa parut putih. Gaul garam sikit dan boleh potong kuih dan gaulkan sebati.
Selamat menjamu selera.