Cara untuk membuat Bihun Sup Daging Hitam yang sangat enak dan menjadi kegemaran anda sekeluarga!

Assalamualaikum semua! Kak Has nak kongsikan resepi bihun sup daging hitam yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Semalam kak Has buat bihun sup daging hitam. Sejak belajar buat bihun sup cara begini, memang resepi inilah yang selalu diulang-ulang setiap kali kami berkumpul sekeluarga.

Nak tahu apa yang istimewanya bihun sup ini? Daging hitamnya yang menaikkan dan menyedapkan rasa dan bawang putih cincang goreng minyak yang menjadikan rasanya sangat unik dan berbeza. Kak Has nak kongsikan dengan kalian bahan-bahannya. Terima kasih Puan Hasniza Hassan untuk resepi sedap ini.

1. Sup Ayam (untuk lebih kurang 3 liter air).

  • Ayam yang ada isi dan yang bertulang.
  • 7 ulas bawang putih diketuk.
  • 1/2 inci halia diketuk.
  • Lebih kurang 1 sudu besar serbuk lada sulah.
  • Garam dan sedikit gula secukup rasa.
  • Boleh tambah perisa jika mahu (Kak Has biasa tambah setengah kiub ayam dan perencah Hilal).
  • Sedikit daun sup.

2. Isi ayam yang dicarik-carik.

3. Daging Goreng Hitam.

  • Daging dipotong kecil. Pastikan banyak tau sebab selalunya tak cukup nanti.
  • Kicap cair. Boleh tambah sedikit kicap manis.
  • Lebih kurang 3 – 5 sudu besar serbuk lada hitam jenis ‘coarse’.
Baca juga :  Resepi dan cara untuk membuat Biscoff Cheese Cake. Super sedap lemak berkrim dan gebu!

4. Bawang Putih Cincang Goreng Minyak.

  • Bawang putih dicincang atau dikisar kasar.
  •  Minyak untuk menggoreng (Biar lebih minyak).

5. Kicap cili.

  • Lebih kurang 5-7 ulas bawang putih.
  • Lebih kurang 11 biji cili api.
  • Kicap masin dan kicap manis secukup rasa.

6. Bihun (Boleh juga guna kuay teow).

7. Sawi celur.

8. Boleh tambah taugeh dicelur dan cili merah potong.

Cara-cara untuk membuatnya:

  1. Bahan 1 : Rebus ayam, yang ada isi dan yang bertulang sekali. Biarkan mereneh. Tambahkan serbuk lada sulah. Jangan lupa garam dan gula secukup rasa.
  2. Tumis asing bawang putih dan halia. Campurkan bawang putih dan halia yang digoreng asing ke dalam sup. Biarkan sup terus mereneh. Nak tutup api, taburkan sedikit daun sup. Tak nak pun tak apa.
  3. Bahan 2 : Keluarkan ayam yang ada isi dari kuah sup. Carik-carik isi ayam dan hidang asing.
  4. Bahan 3 : Perap daging yang dipotong kecil dengan kicap cair dan serbuk lada hitam yang jenis ‘coarse’ selama lebih kurang 15 minit.
  5. Goreng daging sampai empuk dan sedikit garing (jangan garing sangat nanti keras). Bila dah siap goreng Toskan minyak.
  6. Bahan 4 : Bawang putih dicincang atau dikisar kasar. Goreng bawang putih cincang atau dikisar kasar sampai kekuningan dan sedikit garing. Jangan biarkan sampai garing sangat nanti pahit dan hangit sebab minyak masih panas semasa dikeluarkan.
  7. Keluarkan bawang putih cincang atau dikisar kasar yang digoreng dari kuali bersama minyaknya.
  8. Bahan 5 : Bahan-bahan untuk kicap cili. Kisarkan sekali bawang putih, cili api, kicap masin dan kicap manis secukup rasa. Bila dah siap, Hidang asing kicap cili ini.
  9. Bahan 6 : Celurkan bihun dalam air panas mendidih.  Bila dah kembang toskan.
  10. Bahan 7 : Didihkan air dalam kuali dan tambahkan sedikit minyak. Dah mendidih, masukkan sawi yang dipotong-potong sekejap saja dan toskan.
Baca juga :  Cara untuk membuat Sup Tulang Ala Thai paling power dan sedap. Resepi wajib cuba tau!

Alhamdulillah sedia untuk dinikmati. Campurkan semua bahan-bahan semasa hendak dimakan. Daging goreng hitam dan bawang putih cincang goreng minyak tu wajib bubuh tau. Baru ada ‘kick’ hehe. Selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Nak Copy Paste ke tu? Usaha la sendiri.