Ceritanya semalam akak masak bubur lambuk Tranung. Resepi ori dari arwah tokwan akak. Macam mana arwah ajar akak macam tu akak kongsikan dengan korang. Banyak resepi banyak versi yang ada tapi ni resepi turun temurun keluarga akak.
Resepi akak kongsi ni separuh dari yang akak buat tu. Akak masak dalam rice cooker yang 3.6L lebih kurang 500 gram beras. Tenkiu pada yang sudi like & share. Itupun kalau ada la. Selamat mencuba semua. Resepi ini telah dikongsikan oleh Puan Ummi Hana. Terima kasih.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 250 gm beras.
- 500 gm ikan selayang – rebus/panggang ambik isi.
- 300 gm santan pekat.
- 1 genggam ikan bilis.
- 2 biji ubi keledek dipotong sederhana kecil.
- 3 sudu besar kerisik.
- Ajinomoto (jika suka).
- Garam secukupnya.
- Budu secukup rasa.
Bahan-bahan yang perlu dikisar:
- 15 biji bawang merah.
- 2 inci halia.
- 1 sudu besar lada hitam biji.
- 6 batang serai.
Bahan-bahan ulaman:
- Pucuk midin (paku merah).
- Pucuk paku hijau.
- Pucuk cekur manis.
- Pucuk ulat bulu.
- Pucuk ubi kayu.
- Pucuk labu kuning.
- Pucuk cili api.
- Daun kadok.
- Daun kunyit.
- Daun kesom.
- Daun kemangi.
- Bayam hijau(jika suka).
- Kangkung (jika suka).
Cara-cara untuk membuatnya:
- Rebus beras, ikan bilis dengan air secukupnya hingga hampir jadi bubur. Lepas tu masukkan bahan-bahan kisar dengan ubi dan masak lagi hingga ubi empuk.
- Masukkan isi ikan dan gaul sekejap kemudian masukkan santan, kerisik, budu, sedikit sahaja ajinomoto dan garam sesedap citarasa memasing dan masak lagi sehingga mendidih. Dan jika bubur tu agak pekat sangat boleh tambah sedikit air panas ikut kepekatan yang sesuai citarasa memasing.
- Last sekali masukkan dedaun ulaman dan kacau sebati. Agak-agak daun dah hampir layu boleh padam api dan siap.
- Kuantiti bahan-bahan terpulang memasing nak banyak mana dan bubur lambuk Tranung ni sedap kalau daun ulaman banyak.
- Ikan yang sesuai selain selayang ialah kembung dan selar tapi selayang lebih manis dan lagi banyak isi ikan lagi sedap. Akak tambah ikan bilis untuk tambahkan lagi rasa manis asli bubur lambuk tu.
- Ubi keledek tepulang nak guna ubi kuning @ putih. Ubi keledek ungu kalau boleh elakkan takut nanti bubur tukar warna.
- Budu suka hati anda nak banyak mana tapi akak suka budu lebih lagi sedap bubur lambuk kita tapi pastikan garam jangan banyak-banyak sebab budu dah masin. Akak masak dalam rice cooker je sebab rasanya lagi cepat beras nak jadi bubur.
Selamat mencuba.