Jom kita buat Apam Tapai Nasi. Tengok gambar pun comel je kan dan pastinya sedap tau! Apam tapai nasi ni boleh dibuat untuk sarapan pagi atau minum petang. Jom la cuba resepi yang telah dikongsikan oleh Puan Nawar Azhar. Selamat menjamu selera.
Bahan-bahan untuk Apam tapai nasi:
- 2 cawan tepung beras cap bunga teratai.
- 1 cawan gula pasir. Saya letak 3/4 cawan je.
- 1 cawan tapai nasi.
- 2 cawan air.
- 1 paket eno warna biru.
- Acuan yang telah disapu minyak.
Cara-cara untuk membuatnya:
- Satukan semua bahan-bahan diatas dan kisarkan sehingga halus dan sebati kemudian tapiskan. Perapkan adunan tadi dalam bekas yang bertutup selama lebih kurang 4 hingga 5 jam.
- Selepas perap, masukkan eno dan kacau sebati adunan kita tadi. Bila dah puas hati tuang adunan dalam acuan kecil dan kukuskan selama 15 minit menggunakan api sederhana. Pastikan air kukusan betul-betul mendidih ya. Balutkan penutup kukusan dengan tuala bersih supaya air tak masuk dalam adunan kita.
Bahan untuk buat tapai nasi:
- 3 cawan nasi sejuk.
- 1 ketul ragi.
Cara-cara membuat tapai nasi:
- Sediakan bekas tupperware atau apa-apa bekas yang sesuai.
- Kemudian, masukkan nasi sejuk dan lerai-leraikan nasi tu. Sagat ragi atas permukaan nasi sampai habis.
- Seterusnya, gaul merata ragi tadi pada nasi dan tutup serta balut dengan kain dan simpan selama 3 hingga 4 hari di tempat yang gelap dan tidak terkena cahaya matahari. Pastikan guna sudu plastik semasa menggaul ragi pada nasi.
Jika suka apam warna-warni anda boleh letak pewarna dalam adunan. Selamat mencuba ya.