Resepi Kuih Lopes Gula Melaka Paling Sedap. Mudah untuk disediakan dan sesuai sebagai sarapan ataupun minum petang. Anak anda pasti suka. Terima kasih kepada Azie Kitchen kerana berkongsi resepi hebat ini.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah:
- 2 cawan beras pulut susu.
- 2 cawan santan cair.
- 1/2 cawan air daun pandan – dikisar beberapa helai daun pandan.
- 1/2 sudu kecil air kapur.
- 1/2 sudu kecil garam.
- Beberapa titis pewarna hijau.
- Kelapa parut – gaul dengan sedikit garam.
Cara-cara untuk membuatnya:
- Cuci beras pulut, rendam beras pulut dengan air, pewarna hijau dan air kapur selama 1/2 jam. Sementara itu, kisar daun pandan bersama 1/2 cawan air dan tapiskan airnya. Ketepikan dulu.
- Kemudian toskan beras pulut dan masukkan ke dalam loyang. Lepas tu, masukkan santan, garam dan air pandan. Gaul rata. Panaskan pengukus sehingga air mendidih dan dikukus sehingga masak atau 3/4 masak pun tak apa sebab akan dikukus lagi.
- Bila santan kering, kacau rata supaya pulut masak rata. Kukus seketika lagi sebelum diangkat. Sejukkan seketika.
- Ambil daun pisang yang dipotong panjang dan layur sekejap atas api. Bentangkan daun pisang, bubuh pulut ikut kadar yang dikehendaki dan gulungkan daun tersebut dua atau tiga lapis. Punjutkan bahagian kiri dan kanan sambil dipadatkan. Ikat dengan benang atau tali rapia.
- Susun di atas periuk pengukus dan kukus sekali lagi selama 15 minit atau lebih. Sejukkan dan potong dengan menggunakan benang yang ditegangkan dikedua dua belah atau menggunakan pisau sahaja. Gaulkan dengan kelapa parut yang telah digaul dengan garam.
- Sedia untuk dihidangkan bersama air gula Melaka yang telah disejukkan.
Nota: Boleh juga dimasukkan pulut yang telah masak ke dalam bekas 4 persegi dengan plastik/daun pisang. Tuang pulut ke dalamnya dan ditekan padat padat dengan plastik/daun pisang. Biarkan sejuk, kemudian potonglah ikut bentuk yang disukai. Sementara pulut dikukus, bolehlah disediakan air gula. Hidangkan kuih lopes dengan air gula yang disejukkan.
Cara untuk membuat Air Gula Melaka. Bahan bahan:
- 3 ketul gula Melaka.
- 5 sudu besar gula pasir.
- 3 cawan air.
- 2 helai daun pandan- disimpul.
Cara-cara membuatnya:
Masukkan semua bahan dalam periuk, bila dah mendidih kecilkan api dan masak hingga agak likat. Bila dah sejuk boleh dimakan bersama pulut.
Nota: Lebih sedap jika air gula Melaka disejukkan dalam peti ais seketika sebelum dihidangkan.