Mee Champa ni sebenarnya adalah satu makanan dan masakan yang berasal daripada kemboja. Sedap tau masakan ni. Bagi siapa yang belum pernah merasa Mee Champa? Jom kita cuba buat menggunakan resepi ni. Dijamin anda puas hati.
Terima kasih kepada Puan Tahrunnisa Jali kerana berkongsi resepi hebat ini.
Bahan-bahan yang diperlukan untuk Kuah:
- 1 1/2 – 2 kg daging lembu beserta tulang untuk dibuat Sup Rebusan tulang dan daging (bone broth).
- 3 liter air.
- 4 biji bawang holland dipotong 4.
- 3 biji bawang besar dipotong 4.
- 2 inci lengkuas dipotong nipis.
- Seekor sotong kering sebesar tapak tangan. Kalau takde tak kick la kuah sup ni. Kalay tak ada juga boleh abaikan.
- Daun ketumbar seikat.
- Daun bawang secukupnya.
- 2 batang kulit kayu manis.
- 4 biji bunga lawang.
- 1/2 cawan sos ikan.
- Gula dan garam secukup rasa serta serbuk perasa jika suka.
- Serbuk lada sulah atau serbuk lada hitam.
- 3 kiub stok perisa daging.
Cara-cara untuk membuatnya kuah mee champa:
- Merebus tulang dan daging lembu ni memakan masa agak lama untuk mendapatkan bone broth. Bone broth ni bagus untuk kesihatan kita.
- Caranya didihkan air rebusan terlebih dahulu baru masukkan daging dan tulang dan renehkan dalam 30 minit hingga 1 jam.
- Kemudian buang air rebusan daging tadi beserta kotoran yang ada. Masukkan air yang baru bersama tulang dan daging tadi dan rebus kembali. Selepas 30 minit mendidih, lihat jika air rebusan kita tu ada buih-buih atau keruh tak? Jika ada buang lagi airnya dan masukkan air yang baru (3 liter) dan masukkan tulang serta daging dan rebus kembali.
- Kali ini rebus sehingga daging empuk. Bila dah empuk, keluarkan daging dan sambung rebus tulang sehingga 5 atau 6 jam. Sementara menunggu. Anda boleh bakar dahulu bawang holland, bawang merah besar, lengkuas, sotong kering, kayu manis dan cengkih.
- Dalam air rebusan tulang tersebut masukkan bahan-bahan yang kita bakar tadi. Masukkan juga bersama sos ikan, seikat daun ketumbar, serbuk lada hitam/lada sulah dan kiub stok perisa daging, garam dan perasa serta daun bawang. Rebuslah dengan api yang perlahan.
- Sewaktu nak menceduk kuahnya nanti kedalam mangkuk mee, anda kena tapis guna penapis supaya bawang-bawang dan segala rempah tak masuk dalam mangkuk mee tu. Jadi dapat kuah yang suci bersih je.
Bahan dan cara untuk membuat Sambal Lada:
- 4 biji lada merah besar*.
- 20-30 biji cili api*.
- 2 ulas bawang putih*.
- 2 sudu besar cuka.
- Sedikit garam.
Rebus sehingga layu bahan-bahan bertanda * diatas kemudian toskan dan kisar sehingga hancur beserta dengan cuka dan garam. Siap untuk dihidangkan bersama Mee Champa.
Bahan yang diperlukan untuk membuat Minyak Bawang Putih:
- 3 labu bawang putih dibersihkan dipotong halus.
- 1 cawan minyak jagung.
Panaskan minyak dan masukkan bawang putih dan goreng sehingga kekuningan kemudian tutup api.
Bahan-bahan tambahan sebagai pelengkap rasa Mee Champa:
- Kuey teow nipis atau mihun atau mee champa.
- Daun ketumbar, daun sup, daun bawang, taugeh dan Limau nipis.
- Hirisan daging.
- Minyak bawang putih dan sambal lada.
- Lobak masin yang dipotong halus.
- Kicap, serbuk lada sulah/lada hitam, gula (tambahan jika suka manis) dan sos ikan jika perlu.
Info tambahan:
Waktu nak makan tu kan korang boleh la taruk kicap, perah asam limau, taruk sambal lada, minyak bawang putih, serbuk lada hitam/lada sulah, sos ikan jika suka dan gula jika yang suka manis. Bahan tambahan ni la penyedap mee sup champa korang tau! Sekali cuba mesti nak lagi.