Kuah rojak buah homemade yang mudah untuk dibuat dan yang paling penting sedap. Boleh la colek mencolek buah lepas tu.



Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuah rojak adalah seperti berikut:

  • Segenggam cili kering (dipotong dan dibuang bijinya serta perlu dibasuh bersih dan direndam sekejap dengan air panas selama 5 minit dan toskan airnya kemudian).
  • Belacan.
  • 1 cawan gula merah (bukan gula perang tau).
  • 3 cawan gula pasir.
  • 1/2 cawan kicap.
  • 5 sudu besar sos cili.
  • 3 sudu besar tepung jagung (dibancuh dgn 1/2 cawan air).
  • 2 sudu besar garam. (boleh adjust mengikut kesesuaian sendiri).
  • 2 sudu besar bijan.
  • Segenggam kacang tanah digoreng tanpa minyak dan dikisar kasar.



Cara-cara untuk menyediakan kuah rojak:

  • Cili + belacan +secawan air dikisar sehingga halus dan dimasukkan ke dalam kuali.
  • Kemudian, masukkan gula merah dibancuh dengan secawan air dan ditapis ke dalam kuali.
  • Masukkan gula pasir, kicap dan sos cili.
  • Masak dulu semua bahan-bahan tadi sehingga mendidih. Jaga-jaga sebab adunan/kuah tersebut cepat meruap. Pastikan sentiasa kacau-kacau kuah tu ya.
  • Bila kuah sudah mendidih, masukkan pula garam secukupnya dan rasa supaya rasanya seimbang dengan selera kita.
  • Selepas itu masukkan air bancuhan tepung jagung tadi dan kacau sehingga sebati.
  • Waktu ni memang sentiasa kena kacau selalu kuah tadi dengan menggunakan api kecil. Masak sampai kuahnya menjadi agak pekat.
  • Kemudian, barulah masukkan 2 sudu besar bijan dan 2 sudu besar kacang tanah yang dikisar tadi.Kacang yang lebih tadi bila nak makan baru ditabur di atas rojak/buah.
  • Masak lagi kuah tadi sehingga menjadi pekat, likat dan hitam memikat. Makan siap sudah kuah rojak anda hasil air tangan sendiri. Selamat mencuba.

*Resepi asal ini disumbangkan oleh Puan Cik Pooja melalui Facebook Masak Apa Hari Ni dan disunting bagi penyesuaian pembacaan.